
![]()
Web Hosting by Netfirms | Free Domain Names by Netfirms
| LAMAN UTAMA | WEBMASTER | CHAT | EMEL | PAPAN MESEJ |
| MAKLUMAT | PERMAINAN | JARINGAN | FORUM | BUKU PELAWAT |
Melangkah Menuju Ke Jalan Allah
Pemeliharaan Diri dari Dosa.
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku di
perjalanan menuju Allah,sesungguhnya anda tidak akan sampai kepada
penunaian rintah-perintah Allah kecuali dengan menjaga hati dan
anggota-anggota badanmu pada setiap saat dan ketika. Allah swt
melihat bisikan hatimu. Ia mengetahui setiap lintasan yang ada pada dirimu,
mengetahui setiap fikiran, setiap langkah dan apa pun juga perbuatanmu,
baik kamu sedang bergerak maupun sedang berdiam diri. Meskipun anda berada
di tengah-tengah pergaulan atau bersunyi-sunyi sendirian, adalah kesemua
itu tetap berada di dalam kehadiranNya. Lantaran itu awasilah dirimu,
jauhilah kemungkaran. Seandainya anda melakukan kemungkaran kepada
Allah, sedang anda yakin bahawa Allah swt melihat kelakuan anda itu,
maka anda adalah orang yang mengejek-ngejek Tuhan. Sebaliknya jika
anda melakukan maksiat sedangkan anda yakin pula bahawa Tuhan tidak
melihat kelakuan anda itu, maka sebenarnya anda adalah seorang kafir.
Terus-terusan mengerjakan dosa menjadikan hati hitam dan selanjutnya hati
itu menjadi kelam dan keras, tidak ada kebersihan dan keheningan serta
tidak akan merasa lega dan manis dalam mengerjakan ibadat. Jika Allah
tidak memberi rahmat, maka hati yang sedemikian itu akan menarik
pemiliknya kepada kekufuran dan kecelakaan. Tanda hitamnya hati
ialah seseorang itu tidak merasa kaget atau takut dalam mengerjakan
dosa, dan tidak merasa manis dengan mengerjakan ketaatan serta tidak
berkesan akan nasihat. Sungguh benar orang yang mengatakan bahawa
sekiranya anda tidak merasa kuat mengerjakan sembahyang di malam
hari dan puasa di siangnya, itulah suatu tanda bahawa anda
terbelenggu oleh dosa-dosa. Bukan sahaja orang yang melakukan
maksiat tidak merasakan kelazatan ibadat tetapi juga bagi orang yang
bercita-cita untuk melakukannya. Oleh yang demikian, peliharalah
dirimu dari melakukan sebarang dosa walaupun ianya hanyalah dosa
kecil. Jauhilah ia laksana anda menjauhkan diri dari meminum racun yang
berbisa. Hendaklah anda takut dari melakukan dosa itu lebih dari
rasa takut dan gentar jika termakan racun yang akan mematikan dirimu
sendiri. Padahal hati seorang mukmin itu lebih berharga dari tubuh
badannya. Saudara-saudaraku, adalah menjadi kewajipanmu untuk
mengenal setiap maksiat, samada yang dilakukan oleh hatimu maupun yang
dilakukan oleh tubuh badanmu yang kasar ini. Anda harus mengetahui
penyakit-penyakit hati yang sering menyerangmu dan ubat-ubat baginya.
Dengan hatimu yang mengidapi penyakit riya', ujub, takabbur, dengki,
lalai dan lain-lain itu sudah tentu tidak memungkinkan anda berjaya
dalam menjalani jalan menuju Allah. Setiap anggota badanmu
juga perlu dijaga. Jagalah lidahmu dari memperkatakan sesuatu yang
terlarang baginya. Awasilah pendengaran dan pengelihatan yang
merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka menuju ke hati. Apa sahaja yang
masuk menerusi kedua-dua pancaindera ini akan sampai ke hati. Betapa
banyak perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia dari hal-hal
yang tidak patut sampai kesannya ke hati, lalu sukar pula baginya
untuk menghapuskan kesan itu. Allah swt telah berfirman:
"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaannya.
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya
merugilah orang yang mengotorinya." (Asy-Syams : 8-10) Berbagai
jenis manusia yang melakukan dosa. Ada yang sudah berkebiasaan
melanggar perintah Allah dan mengerjakan laranganNya sehingga tidak lagi
sensitif dengan perbuatannya itu. Ada pula yang melakukan dosa kerana
kelemahannya untuk mengawal dorongan nafsu sedangkan ia sendiri menyedari
akan kelemahan itu. Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari
golongan ini. Bagaimanakah reaksi kita terhadap dosa yang dilakukan
itu? Adakah kita bergembira dan berbangga? Ataupun adakah kita kita
segera menyesali dengan apa yang dilakukan itu?